SCM Music Player - seamless music for your Website, Wordpress, Tumblr, Blogger.

Wednesday, November 3, 2010

Kepentingan Tarbiyah

Sesuatu hal atau perkara itu tidak akan didokongi mahupun diamalkan melainkan apabila seseorang itu memahami tuntutan dan keperluannya. Seolah-olah, selagi mana dia belum bersedia untuk ‘mahu’ melakukannya, maka dia tidak akan menjadi jiwa atau jasad yang bersedia untuk menanggungnya, bahkan mungkin hanya menjadi pemerhati, pendamping, mahupun penyokong.

Kita lihat contoh yang lebih mudah dalam kehidupan seharian kita. Amat sukar bukan untuk kita mempelajari sesuatu yang kita tidak punya rasa mahu dan cinta untuk pelajarinya? Meskipun melihat kepentingan subjek tersebut kepada pencapaian kecemerlangan akademik kita, tanpa kefahaman mengapa perlu pelajari dan kemahuan untuk mempelajari, maka di akhir sesi peperiksaan, subjek akan tinggal subjek.

Begitu pula sepertinya dakwah ini. Seseorang yang belum ‘bersedia’ untuk mendokong dakwah ini tidak bisa beramal dengan kefahaman yang diberinya selagi mana dia tidak sedar dan faham mengapa dia perlu melakukan demikian. Dalam muqaddimah Dakwah Fardiah oleh al-Ustaz Mustapha Masyhur, beliau menyebut tentang keadaan ummat Islam hari ini. Mereka ialah orang yang lena dan tidur sedang di sebelah mereka ada api yang marak membakar. Kewajipan kita ialah membangkitkan mereka dari lena dan tidur, bukannya memperingatkan mereka tentang bahaya api yang membakar.

Seseorang itu tidak akan mampu atau sanggup untuk memikul taklif dari para naqib atau murabbi, ataupun taklif program, apabila dia tidak mengerti dan faham mengapa dia harus berbuat demikian. Seandainya dia mengerti bahawa taklif tersebut adalah atas kemampuan dirinya dan kebolehan dirinya, juga untuk memantap dan mentarbiyah dirinya untuk tetap teguh dan tsabat maka sudah pasti kita akan melihat satu pencapaian yang cemerlang dalam amalnya. Bahkan pengorbanan yang dia akan lakukan adalah yang terbaik dia mampu berikan lebih dari ekspektasi atau jangkaan taklifnya itu.

Sekiranya dia juga memahami halangan-halangan yang mampu membantutkan proses dirinya untuk melonjak potensi diri, maka kita akan melihat dia meninggalkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan tarbiyyahnya terbantut. Namun, orang yang masih samar-samar, bermain di tepi-tepian, masih bercampur antara al-Haq dan al-Batil, maka dia masih berada dalam bahaya, kerana seandainya dia memahami tuntutan di jalan ini, tentu tarikan fana` tidak mampu untuk menggoda dirinya.

Begitulah salah satu fungsi penting Dakwah Fardiah, untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada ummat manusia, para mad’u mengapa mereka ini diciptakan Allah, kemudian dihantar ke bumi? Juga mengingatkan mereka akan kemuliaan yang telah Allah kurniakan bagi setiap hamba, cucu dan cicit nabi Adam a.s. Apabila para mad’u yang kita mu’ayasyah dan didik secara terus memahami tanggungjawab dan kepentingan dakwah itu ke atas mereka, baharulah mereka akan bersedia untuk mendokong dakwah dan risalah ini.

Sepertimana yang disebut oleh al-Ustaz Mustapha Masyhur, jemaah yang tidak mementingkan persediaan kader-kader dan jundinya memperjudikan nasib badan tersebut untuk melebarkan dakwah dan risalah ke pelusuk bumi Allah. Lihatlah pada marhalah [merujuk kepada ketika Islam berada pada fasa sebelum hijrah] Makkah, ketika mana para sahabat masih belum dibenarkan berperang, dan disaran oleh Allah untuk sabar dan tetap sabar.

Bahkan, ia ialah satu persediaan ke arah pembentukan individu yang mantap dan bersedia untuk mendokong dakwah ini. Para sahabat dan nabi SAW sendiri mendapat tarbiyah secara terus dari murabbinya untuk membentuk jiwa yang kental dan teguh, iman yang mantap dan mapan, akhlak islamiyyah yang indah, dan jasmani yang tegap dan tersedia. Maka, apabila Islam itu telah dikurniakan Allah marhalah Madinah dan telah ia punya daulahnya sendiri, para sahabat bersedia menjadi pendokongnya. Merujuk kembali kepada tulisan al-Ustaz Mustapha Masyhur bahawa Daulah Islamiyyah itu dimulai dari asasnya, bawah ke atas, dan bukan atas ke bawah. Kerana, seandainya di atas, sebuah daulah terbentuk, sedang para pendokongnya ialah orang yang lemah dan tidak bersedia, maka saksikanlah saat kehancurannya. Peristiwa ini bukan tidak pernah terjadi, ia pernah tercatat dalam sejarah.

Peri penting persediaan para dai’e ini juga menuntut mereka memahami dengan jitu fikrah yang mereka selami. Para dai’e dituntut untuk meyakini fikrah mereka, bahawa di sebalik kepayahan dan kesukaran untuk menyebarkan risalah Allah SWT ini, mereka perlu tetap teguh dan utuh. Syed Qutb rah. dan As-Syahid Imam Hassan al-Banna juga menekankan peri pentingnya untuk para ikhwah meyakini fikrah yang mereka bawa kerana tanpa kefahaman yang jitu, para ikhwah akan mudah goyah dan lemah. Juga ia menjadi satu kekuatan pula kepada dai’e tersebut untuk menjadi qudwah kepada mutarabbinya, yakni apabila dai’e meyakini fikrahnya, tentulah kehidupan yang dia hidupkan berasas kepada fikrah yang dia yakini dan tidakkah indah apabila fikrah itu berasal dari manhaj nabi SAW?

Para dai’e yang faham dan yakin akan fikrahnya, tentu sahaja memahami bahawa hakikat iman dan syahadah yang dia persaksikan tidak akan terbukti melainkan dia diuji, maka dengan ujian tersebut para dai’e bukanlah semakin lemah dan tersisih dari jalan dakwah, bahkan dia menjadi semakin teguh dan utuh. Bahawa kuatnya dia untuk mendepani dan mengharungi ujian tersebut menjadikan dia lebih rapat dengan Allah SWT dan diganjarkan dengan tawaran iman yang berganda. Berbanggalah dengan fikrah yang kita miliki, kerana tidak ada suatu apa fikrah pun yang boleh memenangkan bagi kita jannah dan redha Allah, melainkan fikrah yang diasas bertelunjukkan al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam memberi kefahaman, kesedaran, dan membangkitkan iman para mutarabbi atau mad’u, tidak lain tidak, melainkan para dai’e lah yang terdahulu menterjemahkan kehidupannya berasaskan fikrah yang dia yakini. Bahawasanya dakwah ini bukan sekadar butiran kata-kata dari mulut, tetapi ialah suatu terjemahan dalam kehidupan. Suksesnya dakwah para dai’e bergantung kepada hubungan para dai’e dengan Allah dan keyakinan para dai’e kepada fikrahnya. Dan fikrahnya itu diterjemah dalam kata-kata, akhlak, dan kehidupannya.

Tidak boleh juga dinafikan bahawa keberjayaan mad’u disedarkan dari lena mereka juga bergantung kepada komitmen para ikhwah kepada Dakwah Fardiah dan tarbiyyahnya. Orang yang memandang remeh kemampuan Dakwah Fardiah di akhirnya akan melihat usahanya menjadi sia-sia kerana mad’unya tidak melekat, apalagi kalau bermalas-malasan.

Apalagi apabila fikrah yang diterjemah itu meresap ke dalam setiap perkara yang terlihat mahu tidak sebagai ibadah. Boleh jadi aktiviti jaulah itu sama sahaja seperti orang lain, namun bezanya para dai’e ialah mereka jelas bahawa jaulah itu niatnya untuk Allah, dan ianya menjadi satu ibadah, di mana setiap sela masa yang ada ialah untuk memperingatkan para kader dakwah dan mutarabbi bahawa alam ini ialah milik Allah dan kebesaran yang terlihat itu ialah tanda-tanda kekuasaannya ke atas alam mahupun ke atas manusia.

Begitu juga tatkala bermain, akhlak islamiyyah menjadi satu esensi dan asasi dalam memastikan Islam itu suatu praktik dalam kehidupan. Batas auratnya, bicara katanya, tidak lari dari menjadi tamsil kebaikan akhlak Islamiyyah yang mulia.

Maka akan terlihat dan terzahirlah Nur Islam yang hakiki itu sehinggakan mampu menambat mana-mana hati tanpa ragu dengan keindahannya. Sedang tiga perkara yang dituntut dari para dai’e dalam melaksanakan Dakwah Fardiah ini jugalah menjadi titik tolak keberjayaan dakwah fardiahnya; sabar, sanggup menanggung tindak balas mad’u, dan mengharap balasan daripada Allah semata.