SCM Music Player - seamless music for your Website, Wordpress, Tumblr, Blogger.

Thursday, May 14, 2009

CERPEN DUNIA ISLAM


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

"Ampun maaf, tidak diketahui siapa penulis cerpen ini. Sudilah baca smpai k'titik akhir, mg b'manfaat.."

Dunia Islam? Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

“Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman.” Bunyi satu suara di belakangnya.
Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.

“Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang.Nanti didendanya pakcik,” kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya.Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka…Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

“Hoi budak, Aku di mana sekarang ?” soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak.

Serban mereka berwarna hitam berjalur biru. “Assalamualaikum….Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman…. Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali.” Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut.

Datuk Dr. Johar tersentak.Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi.

Apa ? Dia nak marahkan aku ? ” Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? ” tanyanya angkuh.

“Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat,” kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

“Oh, oh …. maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu?Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?” Tanya pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar.

Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula -Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

“Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. ”

“Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti Darul Taqwa.”

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. “Dimana aku sebenarnya ni?” Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

“Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah,namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini.”

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr.Johar.

“Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat…”

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.

“Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih.. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di Akhirat!” rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya.

Ia terlepas …. Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum.Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :

“Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman.Sila datang!”

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.

“Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki.”

“Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan.”Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. “Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!”.

Lelaki itu tersenyum.”Empat puluh tahun yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women’s Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana.
Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,”terangnya.

Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih. “Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni…”

“Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu… Subhanallah….”Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. “Nasi beriani sepinggan!”ujarnya kepada pelayan. “Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan.

“Ya ! Apa peliknya?”,

“Baik,tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?”tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu keempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

“Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki,” kata pelayan itu dengan sopan.

Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

"Ya Allah,apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, “ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja.

“Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?” tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.

“Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ….malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana ” Keluhnya.”

Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita. Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita, keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.”

Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya…. saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat,” kata pemuda itu menutup perbualan.

Mereka pun makan dengan perlahan-lahan. Datuk Dr Johar makin pelik. “Tambah nasi sepinggan lagi!”ujarnya kepada pelayan restoran.

“Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan…. berhentilah sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ….,” kata pelayan itu lagi.

“Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!” bentaknya. Marah campur geram.

“Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!

“Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?” leternya perlahan-lahan.

“Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya…..”

“Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang …Di mana boleh saya dapati ?” tanyanya.

“Di sana,tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannya kah atau otaknya?

Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam skrin timbul tajuk besar- KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA

Oh…Oh … seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: ‘RAJA’. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti… FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI..

Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? “Tak ada lagu yang hot sikit ke?” tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. “Nanti ya pakcik. Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang…”

“Ya, ya saya setuju,” balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran a… “Eh …ni suara orang mengaji,”

“Nanti dulu pakcik, selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya,” kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian getaran suara bergema….

Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta suci.Inilah getaran hatiku memburu cinta…….stanza hati merindu Ilahi!”

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

“Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah …”

Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata ” Saya bayar dengan kad kredit saja!” Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

“Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah.”

“Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri.”

” Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka.”
“Ah, aku tak nak dengar semuanya. makin gila aku dibuatnya,” pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan ‘MAKRUFAT AIRTRANSPORT’ sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas :” KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH “. Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.

Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

“Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !” Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu. “Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? “tanya Datuk Dr.Johar. “Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya…” “Habis, mereka mahu apa?” “Mereka mahu Islam, Datuk!” “Islam ? ” keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.

~end story~

Bila habis je bace cerita ni…aku selalu terfikir, akan wujudkah keadaan yang begini? Subhanallah…! Keadaan di mana umat Islam menguasai segala-galanya baik dari segi undang-undang dunia, tatacara dan cara hidup yang seluruhnya islami, sains dan teknologi dikuasai oleh cendekiawan-cendekiawan islam,dunia fesyen dan hiburan yang mengikut fitrah islam yang sebenar, Subhanallah! Allahhuakabar! Tak tergambar dek akal fikiran…

KEBENARAN PASTI MENJELMA KEMBALI WALAU DIRANTAI BERJUTA TIRANI KERANA ITULAH JANJI ILLAHI..!!

Wednesday, May 6, 2009

ISLAM ANTARA CERITA DAN KENYATAAN

Assalamualaikum..
Mohon maaf atas keterlewatan hamba dalam mengepost sesuatu di ruangan yang serba kekurangan ni..Sedang hamba ralit mencari bahan mengenai tamadun, tiba-tiba terbuka satu blog yang hamba xpernah jangka akan jumpa. Jadi hamba berminat untuk mengepost pandangan tersebut untuk tatapan kali ini(eheh). Pandangan di bawah ini hanyalah perkongsian semata, mungkin ada yang setuju, ada yang tidak. Walaupun apa pun pandangan anda marilah sama-sama kita mengambil 'ibrah' daripadanya..setiap yang baik itu semuanya datang dari Allah dan yang buruk itu juga datang dari Allah cuma disandarkan kepada kelemahan insan itu sendiri..wallahualam.


Sering kali kita mendengar orang berkata: “Islam agama yang hebat dan membentuk penganutnya menjadi insan yang bertamadun dan mendahului umat-umat Islam”. Penyataan tersebut disertakan pula dengan kisah-kisah umat Islam yang telah berjaya dan gemilang. Sebagai sokongan fakta. Dengan harapan umat di era ini akan terus berbangga dengan Islam mereka dan umat yang lain akan tertarik hati dengan agama yang agung ini.

Malangnya, penyataan sejarah yang lepas, kelihatannya amat berbeza dengan realiti yang disaksikan pada hari ini. Sementara manusia pula secara majoritinya lebih terkesan dengan realiti yang disaksi, dibandingkan apa yang tertera dalam lembaran sejarah. Apatah lagi jika umat itu, bukan umat yang membaca dan mengkaji. Jika kita lihat kepada masyarakat Islam tempatan kita, khususnya orang melayu yang mendominasikannya, kita agak kecewa. Sebut sahaja segala gejala sosial yang serius, orang melayu yang mengakui diri sebagai muslim mendahuluinya. Hinggakan melayu yang minoriti di Singapura, tetap mijoriti dalam pengambilan dadah. Mat rempit, vadalisme, keciciran dalam pendidikan, kemunduran ekonomi dan berbagai lagi, samada kita ingin akui atau tidak realitinya, mereka semua didominasi oleh satu masyarakat yang mengakui Islam sebagai agamanya dan melayu adalah bangsanya.

Persoalan yang ditimbulkan, atau mereka yang bukan ‘melayu’ tertanya; adakah Islam yang dianuti itu punca kepada ini semua?!!. Sebab, pada zahirnya, semua bangsa berkongsi sama di tanah air kita dari segi udara, air, tanah dan persekitaran. Apa yang membezakan antara kita ialah agama, keduanya bangsa. Jika bangsa tidak ada kaitan dengan soal ini, tentu akan dikaitkan dengan agama. Begitulah sebaliknya.

Sudah pasti sifat Islam sebagai agama wahyu yang maha benar dan sejarah Islam yang gemilang menolak untuk dikaitkan kemunduran dan kelemahan dengan agama yang agung itu. Aqidah yang sejahtera akan pasti mengingkari untuk Islam dipalitkan dengan kecacatan dan ‘ketidak majuan’. Jika demikian, yang tinggal untuk diperbahaskan atau dikaitkan dengan kelemahan ini ialah sesuatu yang berkait dengan bangsa. Bukan tujuan untuk merendahkan bangsa! Tidak sama sekali tidak!! Sebaliknya untuk dibaiki dan dinilai!. Bahkan bagi saya orang melayu dalam hal ini tidak jauh atau banyak bezanya dengan orang Arab.

Bangsa Melayu, sekalipun banyak kelebihan di sudut budi dan bahasanya, namun dalam beberapa perkara lain –secara perbandingan- ‘warisan budaya’ melayu semata tidak begitu mampu atau berdaya saing dalam sesetengah perkara. Ambil sahaja contoh orang cina di sudut budaya kesungguhan kerja, berniaga dan seni-seni kehidupan yang lain, amat mantap untuk dibandingkan. Secara umumnya, seorang yang lahir dalam keluarga cina tidak perlu berhempas pulas memahami ilmu perniagaan, kerana ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Demikian budaya kerja, tolong menolong sesama bangsa dan berbagai budaya positif yang lain. Justeru itu, ramai di kalangan mereka sekalipun tidak keluar dengan lulusan yang tinggi dalam bidang perniagaan, mereka lebih berjaya dari yang keluar dengan sijil bergulung, namun masih menganggur di rumah. Soal rajin kerja, kuat belajar, bersaing secara positif, walaupun ada di kalangan sejarah bangsa melayu ini, namun ia belum sampai ke peringkat warisan budaya. Sementara orang cina dan Barat telah mewarisinya sejak zaman berzaman menerusi sejarah dan tamadun mereka.

Untuk mengatasi kelemahan ruang-ruang tersebut, maka orang melayu tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil suatu tamadun untuk dibudayakan secara zahir dan batin yang tidak mungkin dicabar iaitu Islam yang tulen. Di sini saya sebutkan perkataan Islam tulen bagi membezakan Islam yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.

Jika Islam ini tidak ambil secara betul, maka orang melayu atau Arab tidak akan mampu untuk bersaing di persada dunia hari. Ini kerana, sesetengah bangsa-bangsa lain, sekalipun mereka kehilangan akidah yang benar, namun ciri-ciri tamadun kaum yang mereka pusakai telah membantu membawa mereka membina harta dan kekayaan. Sementara bangsa-bangsa yang menganut Islam, jika tidak benar-benar membudayakan Islam dalam prinsip kehidupan secara komprehensif, maka mereka bersaing tanpa sebarang kekuatan. Tidak kekuatan Islam, tidak juga kekuatan tamadun bangsa. Sedangkan bangsa-bangsa yang tidak Islam, sekurang-kurang mereka mempunyai bekalan persaingan iaitu tamadun bangsa mereka yang mempunyai ciri-ciri positif dalam beberapa sudut. Justeru itu, mereka lebih ke hadapan dan berjaya.

Mungkin ada yang berkata: “Mana perginya kekuatan tamadun bangsa-bangsa yang menganut Islam ini?”. Apakah bangsa mereka langsung tidak ada keistimewaan?! Saya katakan, mungkin. Namun banyak pusaka warisan itu hampir hilang sejak bergenerasi lamanya, dek datangnya Islam yang membawa tamadun yang maha agung dan berwibawa. Juga sifat Islam yang menghapuskan apa yang bertentang dengan prinsipnya yang kudus. Islam telah mengambil tempat warisan budaya atau pusaka sesetengah bangsa dengan gantian suatu sistemnya yang paling ampuh. Malangnya apabila generasi kemudian memegang Islam secara pinggiran, atau tersasar dari panduannya, maka mereka kehilangan tamadun Islam yang agung, sekaligus warisan budaya mereka yang dahulu.

Sesuatu bangsa apabila hilang akar tamadunnya, maka lemahlah mereka, serta mudahlah terdedah kepada pengaruh dan serangan luar. Itulah realiti kita hari ini. Melayu atau arab yang sedang hanyut dengan dunia khayalan yang digula-gulakan.

Ditambah lagi, Islam yang diajar tidak lagi dalam bentuk yang difahami oleh generasi awal yang telah berjaya membina keagungan. Persoalan akidah tidak lagi menjadi teras dalam banyak keilmuan. Sehinggakan perkara-perkara yang merosakkan akidah ramai tidak lagi difahami. Ataupun akidah gagal ditempatkan dipersada persaingan.

Sementara sesetengahnya mencanangkan Islam dengan tafsiran yang mundur lagi tidak berasas. Hingga ada yang menganggap selain dari mata pelajaran yang berbunyi ‘arab’ adalah sekular. Seketika golongan agama lebih mudah untuk diingati jika dikaitkan dengan kain pelekat, baju melayu, datang lewat, berjalan ‘slow’, tidur di masjid, susah terima pendapat orang lain, muncul ketika orang mati dan kahwin dan hilang ketika umat gawat bersaing menghadapi percaturan zaman. Hingga orang akan kehairan jika seorang ustaz tahu banyak perkara. Jika ustaz tidak tahu tentang perkembangan semasa dan persoalan moden, mereka kata; “biasalah, dia tu ustaz!”. Maka akhirnya golongan agamawan gagal untuk mengisi posisi-posisi penting umat. Apa tidaknya; ketika harta dan ekonomi umat tergadai, golongan agama masih ada yang bising soal hukum orang bukan Islam makan daging akikah atau larangan menjawab salam mereka!!, Sepatutnya kita berfikir bagaimana untuk menjadikan Islam ini lebih menarik sehingga bukan muslim di sekeliling kita menerima petunjuk yang benar. Sekaligus segala kekayaan yang mereka miliki turut Islam bersama mereka!!. Bukan sekadar sekeping daging akikah, atau sepatah ucapan salam.

Maka kita hilang Islam, tiada pula pusaka nenek moyang. Islam yang sepatutnya mengisi ruang tamadun kita, telah kita tinggalkan. Maka ramai pemuda kita tiada cita-cita besar, tidak merasai ketinggian harga diri dan tiada tanggungjawab, akibat tidak ada jiwa agama. Jika dia berbangsa cina, mungkin dia malu kerana bekerja itu rajin itu adalah budaya yang jika ditinggal suatu kecacatan dan kehinaan. Jika dia muslim yang baik, dia akan merasai dosa hidup tanpa usaha dan perjuangan. Tapi apabila dia melayu tanpa agama dan budaya, dia rasa itu biasa…

Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut).

Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).

Maka memajukan melayu bukan dengan sekadar menghidupkan inang dan mak yong atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya ialah dengan membunuh nilai-nilai negatif yang dimusuhi oleh Islam, seperti ‘tidak rajin’, hasad, tidak itqan (bersungguh) dalam sesuatu pekerjaan, membazir waktu, melampau dalam hiburan dan berbagai lagi. Wajib menghidupkan nilai-nilai positif yang disuruh oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti rasa bertanggungjawab membangunkan umat yang membuahkan kesungguhan menuntut ilmu dalam segala bidang dan melaksanakan peranan kekhalifahan membina tamadun. Ruh sebenar Islam mesti diterapkan untuk ini semua.

Maka guru-guru agama, hendaklah memiliki al-‘uqul al-nadijah al-wa’iyyah ’ (akal yang matang lagi berkesedaran) yang mampu menggerakkan tamadun umat. Bukan sekadar membicara kes-kes yang hampir pupus pada pada ratusan tahun yang lepas. Atau sekadar mengulangi bab haid dan nifas tanpa mampu mengggerak murid-muridnya menghasilkan sendiri keperluan wanita moden ketika haid dan nifas.